Feed on
Posts
comments

Crows Zero II

UMP sedang di musim peperiksaan akhir, otak-otak siswa langsungnya harus berada di prestasi puncak bergelombang Beta.

Menurut Herbert Krugman (1969) aktiviti menonton TV (atau sendiri ku borong menonton filem di PC) boleh merendahkan gelombang otak kepada gelombang Alfa.

Ini mungkin menjelaskan kebingunganku: bagaimana di separa sedar tanganku membawa tetikus menghampiri folder movies, double click, Crows Zero II, dan double click.

Otakku mahu bergelombang alfa.

Crows Zero II

Pada yang belum menonton sequel pertama, Crows Zero menceritakan sekolah lelaki Suzuran, sekolah gangster tanpa sekilas bayangan pendidikan dan buku teksnya adalah buku lima: pukul, dan sepak terajang, pukul dan sepak terajang.

.

Serba ringkasnya,anda akan melihat make-up pelakon kebanyakan masa: lebam-lebam, luka dan calar, kostum pakaian pula: rabak, koyak dan kelihatan berdarah sana sini.

Jika sequel pertama memaparkan Genji (seorang anak kepada kepala Yakuza) mendaftar ke sekolah Suzuran dan usahanya menguasai sekolah gangster terkemuka itu.

Crows Zero II menceritakan pula pertembungan Suzuran dan sebuah lagi sekolah yang silibus utamanya juga adalah gaduh dan bertumbuk iaitu Housen.

Housen dan Suzuran sudah lama bermusuh atas satu insiden pembunuhan dalam pergaduhan (syarat bergaduh sebenarnya adalah tidak boleh membunuh).

.

Luka lama kembali berdarah angkara sikap terburu-buru Genji yang kini mengepalai Suzuran tanpa beliau sedari melanggari perjanjian gencatan buku lima antara Housen dan Suzuran.

Kemuncak filem ini adalah di babak pertarungan antara ketua Suzuran dan Housen- Takuya Genji dan Narumi Taiga di bumbung sekolah.

Tragedi lama hampir berulang kembali apabila Taiga di ambang kekalahan dan seorang pengikut rendah, Washio cuba menikam Genji dengan pisau belati.

.

Namun Washio sempat dihalang oleh Makio dan Taiga sendiri.

Taiga dan Genji terus bertarung secara adil.

Dalam kepala aku membayangkan pertembungan sekolah Housen dan Suzuran umpama simbolik pertembungan antara sekolah pemikiran. Dua sekolah pemikiran yang berkelahi tapi asas bangunan sekolah yang didirikan sudah lama runtuh, yang dipertahankan cuma jasad bangunan yang mati tanpa nilai-nilai budi yang dijunjung.

.

Sebaliknya terulung, terkuat dan superioriti yang menjadi frasa major kamus hala tuju penuntut Suzuran dan Housen.

Sejarah pernah mencatatkan perkelahian antara agamawan kaum muda dan kaum tua. Kini seperti Housen dan Suzuran riak-riak luka lama untuk kembali berdarah di tanah air kian terasa.

Ramai yang kurang selesa dengan Dr. Asri , namun seperti Crows Zero ada watak Taiga dan Genji, biarkan kepala dengan kepala. Tidak wajar kita beremosi Washio, langsung dengan apa cara cuba memenangkan hati sendiri.

.

Suatu masa dahulu Shih Huang Ti, demi kekuasaan dan kepentingan memerangi pemikiran confusius, buku-buku dan kitab-kitabnya langsung dibakar justeru mempertahankan status quonya sebagai maharaja.

Berbeza namanya agamawan, khilafnya rahmat, sengketanya murni, kata terkandung budi, debat bepekerti. Tanpa perlu disorak-sorak jiwanya, ilmu tercanang bertujuan membawa diri mendekati kebenaran mendekati Tuhan.

.

Ah sudah jauh aku tersasar, kembali mem’beta’kan otak. Studi-studi. Zass…

Wallahua’lam.

Rujukan: Tangkapan Dr. Asri

Di atas masih ada ruang

Gugusan
awan itu
persis musafir lalu
tak mahu ku endah
di persimpangan langit

Gugusan
awan itu
mengganggu tenang biru
tak mahu ku kenal
di jalanan langit

Gugusan
awan itu
ku lihat bagai kotoran
cemaran langit
perosak pandangan

luar sedar
di mahkamah hati
ku jatuhi perintah
Angin,
giring!-
pulau!-
usir!-
awan gemawan
yang menghuni
damai lazuardi
langit biruku

perlahan-lahan
abjad-abjad langit
seakan berpesan
dalam lamunan:

“Wahai pengintip langit
barang apa di samudera angkasa ini
barang lakar Tuhan

Guruh halilintar
Taufan mortar
di kanvas ini
adalah mahakaryaNya

Dari tinta
maha pena
Apa kau membaca
Apa kau merasa
Apa kau memakna?”

Dirajut sedar

Perlahan-lahan
Tuhan,
ingin ku berkenalan
ingin ku merasa
setiap kuras cipta-Mu
dengan cinta-Mu.


Selamat Pagi Cinta!
Gambang, 12 Oktober 2009.

Nota : Foto langit yang maha indah itu dari kerja lensa Azri Aris atau mesra ku panggil Gepeng.

Takjub akan kuras cipta tuhan, cuba-cuba aku menukil dengan roh Rumi sang Pecinta. Tuhan, sepertinya aku juga ingin menjadi Pecinta-Mu!

Suri hati II

Diam-diam
Siang dan malam

Sunyi-sunyi
sendiri
Ia cuba berdiri

Benih cinta
Yang datangnya
dari savana mimpi

Di mana bunga erti
mekar di taman pelangi
Cuba-cuba ia bersemi

Di jagaku
Ke hati sendiri
ku seru
Biar apa
Mimpiku
yang angkasa
Biar apa
Cintaku
yang merumba

Ingin ku
menafas makna
menitip hela nyawa
segala sari rasa
segala pati kata
dan segala apa
dalam catat cinta
dan redha Tuhanku

Gambang
dititip 2.53 am, 29 September 2009

Awan Gulita Dresden

Awan gulita Dresden
(Rakaman duka Tragedi pembunuhan Dr. Marwa)

Ada luka angkasa,
Bertinta nota lara
mengalun lagu sendu

Ada ronta angkasa,
Merakam gerangan apa
layar sengsara peristiwa

Ada durja angkasa,
Melihat mata tak tahu apa
Dresden berawan gulita

Sahaja tajam hunusan merenggut jiwa
seorang hawa yang hamil – Marwa,
Sahaja berdas peluru tertuju
seorang adam yang malang – Okaz,
Sahaja melihat mata tak tahu apa
si kecil Mostapha sudah tidak berbonda.

Langit didakap duka,
murka dan hampa
larik derita tak terbahasa lagi
Ada  rasa apa lagi yang tersisa?

Duhai,di apa kota?
Duhai, di apa mahkamah?
Pedulikan adil yang kecundang-
Dresden, ada rasa apa lagi yang tersisa?

14 Julai 2009, Gambang.

Nota :

Malam 14 Julai selepas membaca entri di blog UZAR, pertama kali pada satu malam 3 puisi- aku meluah kecewa, marah bercampur duka . Dan buat pertama kali menghantar ke akhbar.

Kecewa sewaktu dunia bingit dengan kematian Michael Jackson, pembunuhan kejam Dr. Marwa ElSherbini langsung dipinggir media.

Malam 14 Julai untuk seorang wanita yang bergelar doktor, isteri dan ibu ku abadikan namanya, rasaku dalam bait puisi.

Malam ini ku kenang kembali - Dr. Marwa El Sherbini.

Salam Ramadhan kareem!

Suri hati

Di celah-celah hari-hari sukar. Selepas episod kecewa dengan dua ujian yang berlalu satu lagi menanti malam ini. Sunyi-sunyi dalam lamunan ku mengembara ke desa kata, cuba-cuba merakam sesuatu di sini. Entri lepas adalah jiwa rasa coretan cinta teman ku CK, kali ini sudi-sudilah membaca nukilan sederhana dari ku tentang cinta.

Suri hati

Ingin ku karangi
sejuta puisi
untuk dia dewi
yang menggoncang hati

Ingin ku berpena
sejuta prosa
untuk dia juwita
yang menggetar sukma

Ingin ku catan
langit dan awan
melukis jambangan
cinta aku dan dia

Dia
yang berkelubung
tanpa nama
tanpa rupa
Dia
yang ku temu
di persimpangan mimpi

Namun sejauh mimpi
Sepasti itu kan kembali

Di daerah jaga
Aku insan
yang percaya
Tuhan
sentiasa punya
rahsia untuk hambanya

Angin, khabarkan
Untuk dia puspaku
Sejuta kata romansa
akan dahulu ku simpan
buat hantaran
di suatu hari pasti
seada bahagiannya
sejak azali.

20 Ogos 2009
Gambang

Tuhan selalu punya rahsia untuk hambanya. Wallahua’lam.
Salam Ramadhan buat semua! Selamat berpesta ibadah!

Pujangga Chenta

Coretan cinta ini milik CK sudah lama aku peram. Diberi oleh CK semestinya bukan untuk diperam tapi dikongsi dengan warga maya jua. Tapi sengaja aku biarkan ia meranum dengan masa. Kata orang tua-tua sesuatu karya itu bila ia tak lahir, ya ia tak lahir. Layankan saja alasan intelektualhaktui dari aku. Cukup tak perlu panjang berbasa-basi. Ini ku persembahkan luah getar cinta sahabat @ teman sebilik @ sekuliah - CK @ Yop @ Pee’.

Transmisi ke marikh chenta ayuh!

Aku Sepi Sendiri

Aku sepi sendiri,
Keseorangan tiada yang menemani,
Kasihku hilang entah kemana pergi,
Tanpa khabar dan berita dikirimi,

Sejak pagi hanya hujan yang menemani,
Mencurah curah tanpa henti,
Hatiku semakin rindu menyelami,
Menanti kasih bertemu kembali

Bukan merintih atau meratapi,
Diri memahami lagi mengerti,
Anggaplah ini permainan hati,
Terimalah dengan senang hati.

Entah kemana dia pergi,
Tinggalkan aku seorang disini,
Hatiku bimbang menyelubungi diri,
Mengenangkan dikau tanpa disisi.

Tak ingin kucuba untuk mengerti,
Kedepan realiti dan fantasi,
andai dikau ingin pergi,
kutunaikan permintaan ini.

Ku tahu ape yang terjadi,
Kau dah pun punya penganti,
Biar ku butakan hati..
Relaku pergi membawa diri.

Cinta 1

Cinta…
Org kata..cinta itu buta..
Buta mata org yg memandang..atau buta hati org yg menilai…
Jgn hanya kecantikan menjadi ukuran hati..
Hingga lupa apa yg perlu dicari dari seorang insan bernama perempuan..

ALLAH..ciptakan perempuan dari tulang rusuk yg bengkok seorang lelaki..
Bukan utk ditendang atau disakiti…
Dicemuh atau dimaki…
Tapi utk disayangi dan dihargai…

cantik perempuan di mata lelaki..
belum tentu…membawa sebarang erti..
cantik perempuan di mata ILAHI..
memberi seribu erti…membawa diri

perempuan dicipta utk disayangi..
oleh insan bernama lelaki…
jgn dicemari dan dinodai..
lindungilah ,sayangilah dan hargailah sepenuh hati….
Itulah pesan Nabi sebelum pergi…

Cinta itu anugerah ilahi..
Terimalah dengan rela hati…
Walauapepun  yg terjadi di kemudian hari..
Ingatlah…bahawa…semua itu ada hikmah tersendiri yg perlu dihalusi…

Tiada apa yg kekal di dunia ini…
Hargailah apa yang kita ade …
Kerna itu yang terbaik buat kita…
Yakinlah…kerana itu adalah janji ALLAH…

Kasihku Tidak Seperti Dulu

Kasihku tidak seperti dulu,
Dia kini seakan akan sudah berubah,
Entah dimana silapnya,
Adakah puncanya datang daripada aku?

Dulu,seolah olah tidak dapat berjauhan walau sehari,
Tapi kini,dua tiga hari tidak menjadi apa,
Dulu sentiasa rindu mengatasi diri,
Tapi sekarang terseksa menangggung rindu menyepi diri

Alasannya cuma satu,katanya dia sibuk,
Dan penat mengatasi segalanya,
Aku disuruh memahami situasi ini,
Membuatkan aku lebih derita dan sengsara.

aku lelaki,ada perasan sayang dan rindu,
aku rindu bukan pada orang lain,
tapi pada kasihku,
tapi sekarang seolah olah rindu itu semakin menjauhi aku

aku lelaki setia,kesilapan lama tidak akan diulangi lagi,
dulu dekat je rasa, tapi sekarang semakin jauh sedikit,
dalam soal ini, tiada siapa yang patut dipersalahkan,
sama ada aku mahupun dia

kadang kadang, kita kurang menghargai bila kasih kita masih ada,
dan bila dia pergi jauh daripada kita,
barulah kita rasa kehilangan yang amat sangat
jangan menyesal di kemudian hari,
nasi kalu sudah jadi bubur tak berguna lagi

selagi cinta dan kasih sayangku masih ada padanya,
akan ku pertahankan cinta ini sampai hujung nyawa

Cinta

Bukan mudah menerima cinta….
Jika hati tidak dibuka…
Bercinta mengharapkan redha ilahi…
Bukan mengikut kata hati…
Cinta anugerah Tuhan…
Bukan untuk dicemari dan dinodai…
Bukan juga untuk dijunjunng membuta tuli…
Cinta lahir dari hati…
Buat insan yang menghayati…
Cinta manusia datang dan pergi…
Cinta ilahi tetap dihati…
Jauh mana kita pergi…
Kita junjung langit yang sama…
Kita pijak bumi yang nyata…
Cinta kadang kadang membahagiakan…
Namun tak kurang mengecewakan…
Jangan biarkan hati hanyut dengan cinta lara…
Mabuk dengan keasyikkan duniawi…
Alpa dengan perbuatan sendiri…
Jangan bermain dengan api…
jika takut terbakar diri…
jangan bermain dengan cinta…
jika takut merana jiwa…
Usah bermain rasa…
Jika hanya menduga
Nanti tersentuh hati…
Pedih menyiksa diri…
Cinta ilahi cinta sejati…
Cinta hakiki dan abadi………

(Nukilan dan jiwa rasa : Khairil Izuan @ CK @ Pe’e)

Haa… jangan ingat keras-keras jurutera tak tahu bermain bahasa. kuikui…. Sekian Dayat melaporkan dari angkasapuri. Zasss….

Dengan kecenderungan beliau terhadap j-idol. (Beliau yakni adik saya Iman). Ini lantaran melihatkan stor data Johny Entertainment dan produk bintang ‘J-idol’ seperti Tatta Hitotsu, Proposal Daisakusen, Hanazakiri Kimi drama-drama ini bukanlah termasuk dalam cawan teh saya.

Jadi cadang tonton j-dorama Kiina oleh beliau, rasionalnya dipandang dengan kantamata skeptikal oleh saya. Namun dari masa terbunuh dengan lamunan cerita dalam kepala juga terseksa menanti aktor magis Takuya Kimura dalam Mr. Brain yang baru di episod 6, pantasnya Kiina ditonton.

Kiina - The Impossible Crime Investigator

Drama ini mengingatkan saya kepada J-do Galileo yang dibintangi oleh Masaharu Fukuyama memegang watak Yukawa Manabu, profesor fizik membantu pihak polis dalam banyak kes penyiasatan.

Namun Kiina watak utamanya adalah Kanna Miho- perempuan.

Perempuan. Jarang-jarang sekali.

Dunia drama adalah chauvinis akan lelaki.

Dan sering kali apabila perempuan memegang watak tunjang, drama itu akan mempamerkan ‘perempuan yang lelaki’ atau melanggar feminin yang wajar bagi seorang perempuan. Lantaran menjadikan equality atau kesamaan bagi mendefinisikan keadilan watak.  (Pandangan peribadi dari pemerhatian seorang yang jarang berpeluang menonton TV. Saya.).

Menariknya drama Kiina tidak jatuh ke dalam kategori ini.

Galileo dan Kiina persamaannya pada kes yang berlaku adalah lahirnya dari fakta-fakta pelik tapi benar serta fenomena-fenomena alam yang benar yang aneh serta misteri.

Nota makna yang lahir selepas saya menonton Kiina- adalah mengingatkan ungkapan klasik filosof Imam Al-Ghazali meminjam terjemahan Ustaz Hasrizal untuk ungkapan ini:

“Lelaki itu 9 akal dan 1 emosi manakala perempuan pula 9 emosi dan 1 akal”
Ini dapat dilihat  jika kita perhati-bandingkan:

Di dalam Galileo, Profesor Yukawa Manabu selalu mendahulukan pembuktian logik, rasional, dan eksperimen fiziknya. Karakternya tegas, reaksi selalu tanpa emosi, karismatik, maskulin sejelasnya dipampang. Yukawa membantu pihak polis hanya apabila kes itu berkaitan dengan sains, dorongan inkuiri 9 akal.

Manakala di dalam Kiina, Haruse Kiina penaakulannya cenderung dimulakan dengan intuisi, naluri, dan emosi. Wataknya esentrik tetapi tidak sekonklusif Yukawa. Sebab utama beliau begitu komited untuk mencari penjenayah di sebalik setiap kes bukan kerana ’sense of justice’ tetapi lebih kerana perasaan simpatinya terhadap mangsa yang teraniaya. Beliau tidak genius seperti Yukawa tetapi oleh kerana komitmennya Kiina berusaha keras mengkaji dan mencari penyelesaian dengan kelebihan ‘photographic memory’nya. Komitmen kuat yang lahir dari 9 emosi yang mendorong.

Dalam dunia telah Tuhan berikan kita watak untuk diperankan. Malang sekali jika kita ingin melanggari skrip-Nya. Tuhan Maha Adil. Bagi kita manusia apa yang dikurnia- disyukuri jua dimakmuri.

Dicadang tonton-kaji. Sekian, wallahua’lam.

Ombak Terpilu

Begitu halus agama dan bangsa kita dalam memaknakan setiap sisi kehidupan. Mungkin itulah yang ingin disampaikan oleh penulis besar, Faisal Tehrani- jika Manikam Kalbu beliau memperikan makna-makna dunia fabrik Melayu, dalam novel terbaharunya Ketupat Cinta beliau membawa pula pembaca memaknakan falsafah dunia sajian Melayu.

Jika Manikam Kalbu memperkatakan persoalan seperti: Mengapa baju Melayu cekak musang itu butangnya lima dan bagi teluk belanga itu satu butangnya?

Ketupat Cinta pula membawa pembaca agar memerhati nota makna masam manis sajian Melayu.

Ketupat Cinta menggunakan bahasa melayu arkaik dengan penceritaan ‘kartunisme’ yang penuh dengan komedi, humor, parodi, dan satira lucu.

Kelmarin pembacaan saya terhenti pada sebuah parodi lagu didendangkan Dang Shakuntala ketika mengayuh sampan menangkap ikan:

“Sepasang sirip tak terlihat,
umpama ikan yang berendam,
jadi rintik, rintik air…
menciptakan;
ombak yang terpilu.”

Pernah dengar?

Bimbang-bimbang kalau saya teruskan juga pembacaan kelmarin boleh terputus urat usus ketawa.

Oh ya tidak perlu dikhabarkan, pengajaran yang kita akan dapati dari novel Faisal Tehrani terbaharu ini, ‘nota-nota khutbah’ merupakan rutin beliau dalam karya-karyanya dan itu inti istimewa yang dicari oleh pembaca pencari seperti saya.

Dengan membawa firman-firman tuhan dan hadith-hadith junjungan baginda, perkataan manakah lagi yang lebih baik dari perkataan tuhan dan rasulnya?

Keranji dalam perahu

Terang siang hari ini bersahabat dengan suria yang berpancar girang terawang di laut mega. Hembus angin mengelus begitu menyamankan sahaya tuhan ini dari jendela kamar seratus sembilan.

Sedang berlenang-lenang sahaya, menikmati dendangnya biduan tersohor SM Salim dari corong nafiri zaman, tiba-tiba berdering telefon bimbit memurkai not-not harmoni pagi.
iman : salam
iman : eh abang
iman : nak minta tlg carikan pantun klasik
iman : bley?
hidayat : ws
hidayat : pntun utk apa?
iman : nama artwork dia tampannya budi

Bermain pantun juga ahli arkitek ya.

Sakti-sakti Google, hajatnya dapat sahaya tunaikan jua,

Pantun Klasik

Memperkatakan Pantun Klasik, antara untai pantun yang paling sahaya  ingati adalah pantun yang barangkali selalu menjadi dendangan orang tua-tua dahulukala, tatkala berhadapan dengan anak-anak yang bertuah:

“Sorong papan, tarik papan,
Buah keranji dalam perahu,
Suruh makan, dia makan,
Suruh mengaji dia tak mahu.”

Ingin sahaya sebutkan untuk sahaya ini khususnya juga kita sahaya-sahaya mestilah suka mengaji, ya siapa yang tak suka? Tak suka alamatnya hatinya terkatup. Jika setiap selepas solat yang fardhu kita mengaji 4 muka cukup solatnya 5 kali sehari makanya dapatlah kita satu juzuk sehari, cukup sebulan makanya dapatlah khatam satu quran.

Duduk tulis-menulis,
elok-eloklah membaca kitab.

Wallahu-tawwab.

Teori Pappus-Guldinus mengatakan satu permukaan berputaran adalah permukaan yang diterbitkan dari putaran satu satah condong yang berputar pada satu paksi tetap.

Terbitan dari teori pertama adalah isipadu satu jasad terputar adalah sama dengan luas yang diterbitkan kali jarak yang dilalui oleh centroid (pusat daya) luas tersebut ketika jasad itu diterbitkan.


Maksudnya kita boleh mengira isipadu maya jasad seekor Trionychoidea atau dalam perkataan yang senang dieja iaitu labi-labi.

Dengan cara menghitung luas permukaan labi-labi kemudian dikalikan dengan jarak yang dilalui luas permukaan pusat daya labi-labi antara titik pusat bumi maka terhasillah isipadu maya labi-labi yang dicari.

Dengan syarat:

1. Labi-labi itu mestilah pegun yakni duduk diam. Diam yang bermakna boleh bercakap tetapi jangan bergerak.

2. Bumi mestilah berputar tetap pada paksinya. Yang jika tidak tetap bermakna adalah bencana alam atau kiamat atau dengan kata lain tidak bermakna kita mengira isipadu maya seekor labi-labi.

-Bingkisan kuliah Jumaat Statik & Dinamik PM Mokhtar-

*Foto dari sini.

Older Posts »